SEKOLAH KEBANGSAAN HAJI KASSIM JASIN
SELENGKOH, 06910 YAN, KEDAH DARULAMAN.


TEL. : +6044471361
E-MEL : pssskhajikassimjasin@gmail.com

SEJARAH SEKOLAH

Sebelum tahun 1950, Kampung Selengkoh tiada sekolah. Masyarakat buta huruf. Atas kesedaran beberapa orang penduduk kampung  yang mengambil berat tentang  kepentingan pelajaran telah bermuafakat dan mengadakan mesyuarat untuk tujuan tersebut. Antara yang terlibat dalam mesyuarat tersebut ialah : Allahyarham Hj Kassim Jasin, Allahyarham Hj Abd Wahab Abu, Allahyarham Hj Hussin Man, Allahyarham Abd Hamid Muhamad, En Taib Man.
Dalam mesyuarat tersebut keputusan telah dibuat dengan menjadikan rumah Allahyarham Hj  Kassim bin Jasin sebagai tempat belajar yang kemudiannya dipindahkan pula ke sebuah kedai  yang dihadiahkan oleh Allahyarham Hj Abd Hamid bin Muhamad apabila mendapat sambutan yang menggalakkan.
Pada pertengahan tahun 1950 penduduk kampung telah bergotong- royong mendirikan sebuah bangsal untuk dijadikan sekolah sementara di atas tapak tanah kepunyaan Allahyarham Hj Kassim bin Jasin. Setelah sekolah sementara itu siap dibina pihak Lembaga Pengurus Sekolah telah memohon kebenaran Pejabat Pelajaran Kedah. Pada 1 September 1950 sekolah ini didaftarkan sebagai sekolah separuh bantuan kerajaan. Semasa ini 2 orang anak tempatan menjadi guru , iaitu  Abdullah bin Hj Kassim dan Allahyarham Abd Rahman bin Lebai Saman. Setelah jumlah murid semakin ramai, Allahyarham Saad bin Awang telah dilantik sebagai guru pada 1 Mac 1952. Pada masa yang sama Allahyarham Abd Rahman bin Lebai Saman dilantik menjadi Guru Besar. Pada 30 Mei 1952 Jawatan Guru Besar telah diambil alih oleh Abdullah bin Hj Kassim kerana Allahyarham telah berhenti kerja.
Pada 19 Dis 1953, Lembaga Pengurus Sekolah telah melantik Allahyarham Hj Ismail bin Hj Hussin untuk mengajar  agama (fardu ain dan tajwid).  Pada 1 Ogos 1954, seorang lagi guru,  Allahyarham Khalid bin Awang telah dilantik. Antara 1954-1955 keadaan sekolah sangat uzur  dan Allahyarham Hj Kassim bin Jasin telah bersetuju mewakafkan sebidang tanah seluas 1 ¼ relong kepada kerajaan untuk pembinaan sekolah baharu. Atas pengorbanan Allahyarham Lembaga Pengurus Sekolah telah menjalankan kutipan derma  dalam kalangan penduduk kampung  untuk diberi pampasan kepada Allahyarham. Hasil kutipan yang terkumpul hanyalah RM600  dan tidak sepadan dengan nilai tanah semasa iaitu RM1200. Itulah jasa besar yang telah dibuat oleh Allahyarham.
Pada tahun 1955 kerajaan telah mendirikan sebuah sekolah di atas tanah wakaf tersebut. Pada tahun 1979, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mendirikan sebuah bangunan sekolah 3 tingkat yang digunakan sehingga hari ini.
Sebagai mengenang jasa pengasas sekolah ini, maka pada tahun 1980 diabadikan nama sekolah ini sebagai  SEKOLAH KEBANGSAAN HJ KASSIM JASIN, SELENGKOH, 06910 YAN, KEDAH DARUL AMAN.